“Saya bukanlah mahu mencari kedudukan tetapi hanya mahu melihat kamu bebas, aman, gembira dan maju. Masa telah sampai bagi rakyat untuk menentukan sendiri masa depan tanahair ini, supaya hasil kesemua sumbangan, kerja, persaingan dan kerjasama dinikmati bersama, tanpa mengira tempat asal dan kepercayaan masing-masing. Inilah destinasi kita. Marilah kita bergerak bersama kearah itu.”
Datuk Dr Jeffrey Kitingan
4 Mac 1991
Teman-teman dan rakyat Sabah yang dikasihi.
Kamu mungkin telah mendengar ataupun membaca ucapan Mahathir yang tidak ditapis di dalam suratkhabar pada 21 Februari 1991. Saya baru saja mengetahuinya. Kenyataan Mahathir bahawa Sabah adalah tanah jajahannya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Dia sendiri telah membawa UMNO ke Sabah untuk memastikan penguasaan sepenuhnya ke atas rakyat Sabah. Dia tidak mahu menghormati pemimpin yang kita pilih. Dia hendak melantik pemimpinnya sendiri dan menentukan sendiri haluan untuk mereka. Dia berpendapat bahawa Sabah adalah naungannya dan dia boleh berbuat apa saja yang dia suka. Dia juga berfikir yang tiada siapa yang dapat menghalangnya mahupun pemimpin dari Kuala Lumpur – malah mereka juga mengancam dengan menggunakan tentera, polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Tujuan sebenar Kuala Lumpur akhirnya diketahui. Mahathir bertujuan manghapuskan 20 Perkara yang menjadi asas utama persetujuan Sabah untuk menjadi salah satu ahli Persekutuan Malaysia. Rancangan tersebut adalah sengaja dibuat untuk mengurangkan status rakan kongsi (partner) menjadi tanah jajahan Malaya sahaja.