Wednesday, January 25, 2012

SABAH SARAWAK WAJAR BEBAS DARI MALAYSIA

SECARA sedar atau tidak, sekumpulan elit Generasi Sabah dan Sarawak sekarang sedang memimpin rakyat Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan pengiktirafan daripada British dan juga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.
Sekumpulan golongan elit yang berpaksikan non-partisan kini sedang berkembang pesat pengaruhnya yang mana dalam perjuangan kumpulan ini, adalah untuk mendapatkan kembali hak 18/20 perkara (walaupun pada hakikatnya perkara ini sudah terbatal selepas wujudnya Perlembagaan Persekutuan).
Selepas memperolehi kembali hak ini, golongan ini akan meminta sokongan untuk mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai satu Negara yang berasingan daripada Malaya. Sejarah jelas membuktikan bahawa Perjanjian Malaysia 16 September 1963 sudah terbatal dengan sendirinya kerana tindakan Malaya yang telah menyingkir Singapura daripada pembentukan tersebut.

Bagi Sabah, dalam 20 perkara, 19 perkara telah dilanggar, tetapi bila Sabah dan Sarawak mengatakan keinginan mereka untuk keluar daripada Malaysia, Malaya dengan tanpa segan silu mengatakan dalam 20/18 perkara mengatakan Sabah tidak berhak untuk keluar. Sila rujuk kepada link ini.
Dalam link ini jelas menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai hak untuk berpisah jikalau pembentukan ini tidak menguntungkan kedua-dua negara.
Berpaksikan kepada hujah dan bukti kukuh ini serta faktor ekonomi, pentadbiran, pembangunan, pendidikan, keselamatan, kesihatan, kebudayaan dan seumpamanya; golongan elit Sabah dan Sarawak memutuskan bahawa langkah terbaik untuk menyelesaikan kemelut masalah ini adalah dengan 'Memerintah Negara ini sendiri'.
Kumpulan ini juga mengambil kira penyelesaian untuk menyelesaikan perkara-perkara seperti yang dinyatakan sebentar tadi. Selepas mendapat pengiktirafan antarabangsa, Sabah akan dikenali sebagai 'Republic of Sabah' dan Sarawak sebagai 'Republic of Sarawak'.
Dua buah Negara ini bakal menggunakan Borneo Dollar dan bahasa rasmi adalah bahasa Inggeris. Sistem pendidikan pula adalah mengikut standard antarabangsa. Sabah dan Sarawak juga akan mengamalkan konsep demokrasi dan Negara Sekular. Tidak mengiktiraf mana-mana agama sebagai agama rasmi Negara.
Sabah dan Sarawak kerap ditakutkan akan tuntutan Filipina dan ancaman Indonesia. Tidakkah rakyat Sabah dan Sarawak mengetahui kenyataan bahawa mana-mana negara yang menyerang bekas tanah Jajahan British, British dengan sekutunya akan menghantar tentera untuk menyerang balik kerana Sabah dan Sarawak adalah bekas Tanah Jajahan Mahkota British. Adalah menjadi maruah kepada British untuk melindungi bekas Tanah Jajahannya daripada dijajah oleh negara lain.
Filipina pula asyik dengan muka yang tidak tahu malu mahu menuntut Sabah kononnya Sabah adalah milik Sultan Sulu. Berdasarkan kepada sejarah, ya, memang benar bahawa Sabah suatu ketika dahulu adalah milik Sultan Sulu tetapi telah dipinjamkan kepada peneroka British.
Tetapi semasa perang dunia kedua, Jepun telah menakluk Sabah dan telah menjadi milik Jepun. Selepas tidak lama kemudian, British datang kembali dan menawan Sabah yang mana secara langsung dan rasmi dari segi ilmu penjajahan, Sabah adalah milik British dan penduduk Sabah adalah rakyat kepada Ratu Permaisuri Queen Elizebeth II.
Maka, Filipina sudah kehilangan hak untuk menuntut Sabah. Tambahan lagi, jikalau dijalankan tinjauan dan kajian 100% rakyat Sabah tidak mahu bersama dengan Filipina. Apa yang dikehendaki oleh rakyat Sabah ialah 'Memerintah Negara' mereka sendiri kerana Sabah telah diberi kemerdekaan pada 31 Ogos 1963 oleh British.
Maka, di sini saya ingin simpulkan bahawa tindakan yang diambil oleh golongan elit Sabah dan Sarawak ini yang telah mendapat sokongan lebih kurang 8,000 orang (Sabah dan Sarawak) sedang giat untuk mengumpul tandatangan sebanyak 300, 000 untuk petisyen yang akan dibawa ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Ratu Elizabeth.
Salam Hormat,
TRULY SABAHAN

No comments:

Post a Comment